Diterbitkan pada 22 Januari 2026, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Minat mendalam terhadap keindahan bahasa berkias dalam sastera Melayu telah mendorong Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari untuk menghasilkan kajian mengenai estetika pantun, khususnya dalam tradisi bermukun di Sarawak.

Dalam program Sesi Perkongsian Ilmu bertajuk “Kias dan Ibarat dalam Pantun Mukun Gendang Melayu Sarawak: Satu Kajian Estetika” yang berlangsung dari Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP hari ini, Dr. Hazami menjelaskan bahawa bahasa berkias merupakan elemen utama yang menjadikan sesuatu karya sastera Melayu itu indah dan memikat jiwa.

“Sastera Melayu menjadi indah kerana adanya ibarat,” ujar beliau menyentuh peri pentingnya kiasan sebagai ciri utama tamadun Melayu.

Dr. Hazami memilih pantun sebagai subjek kajian utama kerana pantun merupakan genre yang paling sarat dengan kias dan ibarat. Beliau menyifatkan pantun sebagai satu-satunya genre sastera di dunia yang unik dan tidak dapat disamakan dengan sastera bangsa lain.

Kajian beliau turut menyentuh kelestarian pantun yang kekal bentuk dan fungsinya sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga kini. Beliau menjelaskan bahawa pantun terus relevan dalam pelbagai acara, daripada majlis peminangan dan pertunangan, majlis rasmi, sehinggalah dalam konteks keagamaan. Kelestarian ini, menurutnya berpunca daripada kekuatan kias dan ibarat yang terkandung dalamnya.

Dalam analisis kajiannya, Dr. Hazami membezakan kiasan dengan metafora. Jika metafora membandingkan sesuatu secara terus tanpa kata perbandingan (seperti “awan menangis”), kias dan ibarat pula lebih mendalam kerana mengandungi unsur pelajaran, tamsil dan nasihat.

Kajian bagi menyempurnakan kursus Ijazah Doktor Falsafah beliau menggunakan Teori Puitika Sastera Melayu. Menurut beliau, teori ini menggariskan enam kriteria keindahan pantun, namun beliau menumpukan tiga aspek utama, iaitu kemampuan menghimpunkan pemikiran besar dalam hanya empat baris kata, makna dan citra yang dilayangkan secara halus serta gabungan antara alam raya (pembayang) dan alam manusia (maksud) yang saling bertautan makna.

Bahan kajian Dr. Hazami tertumpu pada Pantun Mukun Gendang Melayu Sarawak. Menurut beliau, tradisi bermukun ini merupakan acara berbalas pantun yang unik, melibatkan “Seh Gendang” (pemuzik wanita yang memukul gendang) dan “Topeng” (lelaki yang bertandak atau berjoget) mengikut rentak pukulan gendang dan gesekan biola.

Sebagai rekod, kajian ini menegaskan bahawa Teori Puitika Sastera Melayu yang berteraskan pemikiran Melayu jati sangat penting untuk memelihara warisan pantun dan seni bermukun agar terus lestari di tengah-tengah teori sastera yang lazimnya diadaptasi daripada alam budaya tamadun Barat. 

Sebanyak 200 orang staf DBP telah menyertai program Sesi Perkongsian Ilmu bertajuk “Kias dan Ibarat dalam Pantun Mukun Gendang Melayu Sarawak: Satu Kajian Estetika” yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP hari ini.
Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi