Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Miri – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70, program Festival Puisi Dunia Niah 2026 telah diadakan dengan menghimpunkan penyair dari dalam dan luar negara sebagai usaha untuk memperkukuh jaringan persuratan, memartabatkan seni puisi serta memupuk persefahaman budaya melalui wadah kesusasteraan.
Program Festival Puisi Dunia Niah 2026 merupakan program kerjasama strategik antara DBP melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dan DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Nusa Centre yang berlangsung di Hotel Mega Miri, semalam.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Tuan Chiew Choon Man. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Festival Puisi Dunia Niah 2026 ini berupaya menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan pelancongan budaya di Malaysia.
Beliau menyatakan penghargaannya kepada sinergi yang terjalin antara DBP, Nusa Centre, PUTERA, MOTAC dan Seni Persembahan Sarawak serta pelbagai pihak lain dalam usaha mengangkat martabat kesusasteraan negara.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran festival bertaraf antarabangsa itu membuktikan pentingnya kerjasama strategik antara pelbagai pihak dalam usaha mengangkat kesusasteraan dan budaya negara.
“Festival seperti ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan para penyair dan penggiat sastera dari pelbagai negara, malah berperanan memperkenalkan keunikan warisan budaya serta sejarah negara kepada masyarakat antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa Niah mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai antara tapak warisan dan pusat ketamadunan manusia yang penting di dunia. Pelbagai penemuan arkeologi di kawasan itu telah menyumbang kepada pemahaman mengenai kehidupan manusia sejak zaman prasejarah.
Beliau percaya bahawa pengalaman menelusuri sejarah peradaban manusia dan menikmati keindahan alam semula jadi di Niah akan memberi inspirasi baharu kepada para penulis untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai dalam ucapannya menyatakan bahawa festival ini meraikan penulis dan penyair yang hadir daripada pelbagai latar belakang sekali gus dapat memperkukuh hubungan sastera merentas sempadan.
“Kehadiran peserta antarabangsa dilihat sebagai peluang untuk memperkenalkan bahasa dan kesusasteraan Melayu ke pentas dunia,” ujar beliau.
Menurut beliau, pemilihan Niah sebagai lokasi festival amat signifikan kerana kawasan tersebut kaya dengan keindahan alam semula jadi, serta mempunyai nilai sejarah tinggi dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Tambah beliau, “Selama tujuh dekad, DBP terus komited memartabatkan bahasa Melayu dan memperkembang kesusasteraan sebagai wahana pembinaan tamadun bangsa.”

Selain persembahan peserta dari Malaysia, peserta festival ini juga terdiri daripada penyair dan penulis dari Amerika Syarikat, Uzbekistan, Korea Selatan, Jepun dan Brunei Darussalam.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir dan YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy; Ketua Satu, PUTERA, YBrs. Encik Zainal Abidin Suhaili; Pengarah Nusa Centre, YBrs. Encik Syed Mohd Zakir Syed Othman; Pemangku Pengarah, DBP Brunei Darussalam, Yang Mulia (YM) Awang Suip Haji Abdul Wahab; dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail.