Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangYan – Guru-guru yang selalu mendampingi pelajar dan sentiasa melibatkan diri dalam masyarakat, sudah pasti mempunyai banyak kisah suka duka yang boleh digarap menjadi cerita yang menarik untuk ditulis.
Pengalaman berharga itu perlu dikongsi dengan masyarakat di luar sana untuk dijadikan sebuah kisah yang bermakna kepada umum.
Ungkap Dr. Husari Hussin ketika memulakan Bengkel Penulisan Novel kepada guru-guru Daerah Yan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gurun, baru-baru ini.
Beliau menekankan pentingnya disiplin dalam menulis serta menguasai teknik-teknik penulisan yang baik.
“Penulisan novel bukan hanya sekadar mencipta cerita, tetapi melibatkan seni, iaitu menghidupkan watak, membina plot yang menarik dan menyampaikan mesej secara halus tetapi berkesan”
“Seorang penulis perlu mempunyai komitmen tinggi dan daya imaginasi yang kuat untuk berjaya,” ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan guru sebagai pemangkin budaya membaca dan menulis dalam masyarakat.
Beliau menambah para guru berada di posisi yang unik untuk membentuk minda generasi akan datang.
“Dengan memperkasa penulisan dalam kalangan mereka, kita akan dapat melahirkan lebih ramai penulis yang berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan sastera tempatan,” Jelas beliau ketika membimbing dalam bengkel tersebut.
Sebelum itu, bengkel ini dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan (PPD) Daerah Yan bersama-sama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan Bahagian Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Bengkel ini dianjurkan untuk terus memperkasakan penulisan kreatif dalam kalangan guru dan telah dirasmikan oleh pegawai PPD Daerah Yan, Tuan Haji Muhammad Nizar Yusof.
Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan bahawa usaha seperti ini amat penting dalam memupuk minat menulis dalam kalangan guru yang seterusnya akan menyemai semangat sastera dalam kalangan pelajar.
Guru bukan sahaja berperanan mendidik tetapi juga menjadi model kepada pelajar untuk meluahkan kreativiti melalui penulisan.
Bengkel seperti ini mampu meningkatkan kemahiran penulisan mereka agar dapat menghasilkan karya sastera yang berkualiti,” kata beliau. Beliau turut memuji usaha DBP dalam menyediakan platform untuk guru-guru memperkembangkan bakat mereka dalam bidang penulisan kreatif.
Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, En. Muhammad Azam Juhari dan seramai 70 orang guru dari pelbagai sekolah di daerah Yan menyertai bengkel tersebut.